Tuesday, October 16, 2012

Makanan Pantang Perempuan Sewaktu "Dating"

[#SedangMendengar : Kelly Clarkson - Dark Side]


Semalam usai penat mendengarkan taklimat pilihanraya, waktu makan tengah hari pun tiba. Tetapi malangnya, makanan yang tidak mencukupi menyebabkan aku mencari pilihan lain dengan satu tekad - Lepas pergi selesaikan urusan bank, marilah kita makan benda yang paling banyak diperkatakan di Twitterjaya sejak kebelakangan ini : Burger Samurai McDonalds.


Kebetulan ternampak beberapa budak sekolah perempuan yang sedang makan bersama pasangan masing-masing (mungkin sebab waktu balik sekolah) - masing- masing hanya minum dan makan kentang goreng berbanding dengan teman lelaki (atau kawan baik kot?) yang makan burger dengan berselera. Sama ada mereka sudah kenyang makan di sekolah ataupun punya alasan lain, aku terus teringat beberapa makanan yang digariskan oleh kawan-kawan aku sebagai pantang semasa keluar bersama teman lelaki.



01 - Burger.
Tak kira apa sahaja jenis burger walaupun burger itu hanya setingkat sahaja (maksudnya sekeping daging) sehinggalah membawa kepada burger yang besar pinggan. Burger adalah TIDAK sesekali dalam menu pilihan mereka dengan alasan perlu mengangakan mulut dengan besar untuk menggigit burger. Kelihatan kurang sopan di mata teman lelaki dan juga mungkin masyarakat. Kemungkinan untuk selekeh juga tinggi disebabkan mayonis, sos dan entah apa lagi itu. 


Tapi aku, kali pertama aku keluar (Januari 2007) - aku makan burger McDonalds. Peduli apa aku dengan pantang larang ke apa tu. Pada aku, kalau lapar dan kebetulan kau sedang belajar - lebih baik ambil makanan yang mengenyangkan berbanding terpaksa pura-pura kenyang bila teman lelaki mengajak makan burger. Kalau kau buat macam tu, kau juga lapar kan? Perempuan yang halang diri dia makan burger depan teman lelaki sebab takut selekeh, aku harap kau tak terlepas nikmat makan ni.


Untuk rekod, aku pergi makan #DAMBurger (15 September 2012) depan Kopi - aku makan sahaja burger yang besar dan bertingkat. Selamba.



Tapi ada teman lelaki yang memahami, dia tak ajak makan burger. Memahami apa itu aku kurang pasti. Heh!




02 - Makan ayam/daging.
Ada yang tak boleh makan ayam. Bukan sebab teman lelaki adalah vegetarian. Tetapi memang dia takut makan ayam - takut ayam itu hidup semula sewaktu makan. Dalam erti kata lain, ayam akan terpelanting masa dipotong. Heh. Kalau yang makan ayam goreng, takut juga nak pegang dengan tangan - nanti minyak dan sebagainya. Sudahnya, kalau teman lelaki bawa ke KFC sebagai contohnya, mahu makan apa sudah mula terbayang dalam kepala perempuan begini memandangkan ayam adalah pantang dalam menu pilihannya.


Kalau gunakan tangan (lebih tepat jari) adalah lebih baik berbanding sudu-garfu-pisau pada pendapat aku. Mengurangkan risiko terpelanting ataupun bunyi sudu dan pinggan saling berperang menghadap makanan. Heh! Tapi kalau makan "steak" , guna kutleri ya sayang sekalian.



03 - Makanan berkuah.
Daripada soto membawa kepada pasta dan sebagainya - sebarang benda berkuah dielakkan dengan alasan takut terpercik pada baju. Lebih-lebih lagi kalau tempat tersebut tiada alas napkin, terus sahaja tidak mahu makan makanan sedemikian. Aduhai perempuan, kadangkala kita kena kasihan juga dengan lelaki yang menemani kita makan tahu? Selera mereka perlu dihormati sebagaimana mereka melayan juga kehendak kita makan.



04 - Makanan berlada.
Kalau namanya orang Malaysia, benda yang pedas itu sudah menjadi satu menu yang diambil secara berleluasa. Jadi, ada yang takut mahu makan sambal atau asam pedas disebabkan takut tertinggal biji lada di gigi dan sebagainya. Maklumlah, kadangkala sos cili Thai pun ada juga biji yang memang sengaja tidak hancur itu kan?


Buat masa ini, itu sahaja yang aku dapat ingat kembali apa yang diperkatakan oleh kawan-kawan aku dahulu. Mungkin ada benda yang mahu dikongsi juga?

Lord Zara : Aku setakat ini makan semua benda. Walaupun benda itu adalah makanan pantang dalam regim makanan aku - tapi kalau keluar bersama - "Let's call it as cheat day diet!" Heh!




Sumber dari sini. 


©||❤ puleen.nazlin ❤||©

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...